Abang Johari (tengah) diumumkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 bagi kerusi DUN Gedong. -fotoBERNAMA
PREMIER Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Tun Openg, menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong selepas bakal pencabarnya daripada wakil Bebas menarik diri pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, Sabtu.Kemenangan itu diumumkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Jamain Wahab, pada pukul 10.10 pagi selepas proses penamaan calon di Dewan Masyarakat Gedong selesai. Terdahulu, Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tiba di pusat penamaan calon itu kira-kira pukul 8.40 pagi dengan diiringi pencadang, Datuk Seri Mohd Naroden Majais dan penyokong, Penghulu Francis Kunche.Beliau sebelum itu dijangka dicabar bakal calon Bebas, Sahari Pet, yang tiba lebih awal di lokasi sama kira-kira pukul 8.20 pagi.Sahari hadir bersama pencadang, Rambli Jamain dan penyokong, Jonnie Sahari, sebelum menarik diri daripada bertanding.Untuk rekod, pada PRN Sarawak ke-12 sekitar Disember 2021, Abang Johari memenangi kerusi Gedong dengan majoriti 3,607 undi selepas memperoleh 4,310 undi dalam saingan empat penjuru.Beliau menewaskan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Mohamad Sofian Fariz Sharbini yang memperoleh 703 undi, Tomson Ango daripada Parti Bumi Kenyalang (157 undi) dan calon Amanah, Kamal Bujang (94 undi).PRN berkenaan merupakan penampilan pertamanya di Gedong selepas mewakili kawasan Satok selama kira-kira 40 tahun sejak 1981.Abang Johari mula menerajui pentadbiran Sarawak pada 13 Januari 2017 sebagai Ketua Menteri keenam, menggantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, sebelum gelaran jawatan itu ditukar kepada Premier pada 1 Mac 2022.